Rentetan kejayaan pasukan bawah 23 merangkul pingat emas di Sukan Sea Laos membuka mata semua pihak akan kebangkitan bolasepak Malaysia. Dalam keghairahan memperkatakan tentang kejayaan pasukan kita, semua pihak mula memberi penumpuan dan cadangan untuk membawa Malaysia lebih maju ke depan termasuklah Kementerian Belia dan Sukan.
Antara cadangan yang dikemukan dan dipersetujui baru-baru ini ialah kerjasama KBS dan FAM untuk mengekalkan skuad Bwh 23 ini untuk dibawa ke eropah bagi menimba lebih pengalaman. Hasilnya persetujuan dicapai dan semua pihak bersiap sedia dengan cadangan yang begitu drastik ini termasuklah kelab-kelab yang diminta bekerjasama untuk melepaskan pemain masing-masing.
Persoalannya, benarkah langkah yang diambil ini bakal memberikan impak positif kepada bolasepak Malaysia?
Pertamanya, mari kita sama-sama memikirkan apakah harapan atau pun pencapaian yang ingin dicapai dari program ini? Adakah pemain akan berlatih dengan teknik latihan yang lebih baik? Adakah program ini bertujuan untuk pembangunan pemain (player development)? atau pemain akan bermain dalam perlawanan-perlawanan yang lebih kompetitif (competitiveness and experience)? Ataupun sekadar ‘jalan-jalan’ sambil bertemu dengan kelab dan pemain pujaan masing-masing?
Sebagai peminat, saya merasakan langkah ini lebih membawa impak negatif dari positif. Kita boleh memecahkan sudut pandang dari beberapa aspek yang berbeza. Pertamanya dari segi pemain yang terpilih, sudah tentunya teruja apabila terpilih untuk ‘Program Eksperimen FAM-KBS’ ini, tambahan pula tempat yang dipilih untuk menimba ilmu ini adalah England, tempat bertapaknya Liga Perdana Inggeris menempatkan kelab-kelab ternama seperti Arsenal, Man U, Chelsea dan sebagainya. Tetapi kalau difikirkan sedikit mendalam, bolehkah pemain kita bermain dalam Liga Perdana Inggeris? Jawapannya sudah tentu tidak. Jadi program bentuk yang bagaimanakah yang dikatakan boleh membantu pasukan kita pergi lebih jauh ini?…Adakah dengan memecahkan pemain kita kepada kumpulan kecil dan kemudiannya 5 dihantar ke Man U, 5 dihantar ke Arsenal, 5 dihantar ke Chelsea dan sebagainya sekadar untuk berlatih, kemudian kembali sebagai satu pasukan bermain dalam perlawanan persahabatan yang kurang kompetitif? Sedangkan jika mereka kekal dengan kelab masing-masing mereka bermain untuk saingan liga saban minggu bagi merebut kejuaraan.
Kedua, pemain-pemain yang terpilih ini boleh dikatakan sebagai ‘Cream of the crop’ atau antara yang terbaik didalam Liga Malaysia,tahun lalu langkah FAM melarang penggunaan pemain import sudah mengurangkan kompetitif Liga Malaysia, kini pemain-pemain yang dianggap antara ‘penarik’ atau ‘permata’ di kelab masing-masing diambil pula untuk menyertai program ini, sudah pasti pasukan-pasukan yang kehilangan ‘permata’ ini hilang kekuatan seterusnya hilang sokongan dari peminat berikutan prestasi yang merudum. Selangor sebagai contoh bakal kehilangan 6 orang dari pemain mereka untuk menyertai program ini. Memang masih terdapat ramai lagi pemain di Malaysia tetapi bukan senang untuk melahirkan pemain berkualiti, sebagai contoh Malaysia hingga ke hari ini hanya mampu melahirkan seorang sahaja pemain seperti Mokhtar Dahari. Itu baru peingkat Liga M, belum lagi melibatkan pesaingan kelab di peringkat Asia.
Ketiga, skuad B23 sekarang adalah pasukan utama Malaysia. Prosedur biasa untuk mengambil pemain mewakili negara ialah melihat kepada prestasi yang memberangsangkan dan konsisten di dalam liga sebelum di serap ke skuad negara. Seandainya terdapat ‘permata’ baru yang dihasilkan dalam Liga M yang menunjukkan hasil yang memberangsangkan, bagaimana pula status pemain ini untuk mewakili negara, adakah FAM akan terus berpegang kepada skuad yang dilatih di eropah ini atau mereka akan menyerapkan pemain baru ini ke skuad negara? Dan seandainya pemain ini diserapkan ke skuad negara berdasarkan prestasi dalam liga tempatan, kenapa pemain lain yang mengikuti program ke eropah ini tidak boleh terus bermain dan kekal di liga tempatan? kenapa liga tempatan dikatakan sebagai penghalang kepada perkembangan pemain-pemain ini?
Ke empat, pemilihan England sebagai destinasi yang bakal dituju oleh skuad bwh 23 dibuat berdasarkan liputan meluas Liga tersebut di seluruh dunia, sedangkan pemain yang dihasilkan dari England tidaklah begitu ramai. Harus dikaji kos yang bakal dibelanjakan selain dari membeli kontrak pemain dari kelab masing-masing. Dengan kos tukaran wang yang tinggi, berapa pulakah yang bakal dibelanjakan oleh KBS untuk penempatan pemain dan kos-kos lain bagi membayar kelab-kelab yang terlibat untuk latihan dan perlawanan persahabatan. Kalau ruang kompetitf yang dicari, masih terdapat pilihan lebih murah seperti Australia, Jepun, Korea, Afrika atau negara timur tengah yang boleh dikunjungi yang tahap bolasepak mereka jauh meninggalkan kita.
Pada peringkat umur 20-23, pemain-pemain sedang menuju ke kemuncak karier mereka dan apa yang lebih diperlukan ialah medan persaingan yang lebih kompetitif supaya mereka dapat meningkatkan daya saing dan pengalaman supaya lebih matang dan kritikal dalam permainan mereka. Cadangan yang lebih baik mungkin mendaftarkan pasukan ini dalam mana-mana liga di luar negara seperti Russia, Ukraine, Uzbekistan ataupun lain-lain negara yang tahap bolasepaknya lebih tinggi dari Malaysia (seandainya dibenarkan) ataupun membiarkan pemain dengan kelab mereka masing-masing dan membenarkan kembali penggunaan awang import bagi menjadikan liga M lebih kompetitif dengan wang peruntukan untuk program KBS+FAM ini digunakan untuk lain-lain penambahbaikan di dalam liga M sendiri contohnya dengan memberi liputan yang lebih meluas bagi membuka mata semua pihak termasuk pemain itu sendiri supaya mereka dapat menganalisa kelemahan dan kekuatan masing-masing, mewujudkan satu canel khas sukan, program peningkatan teknik latihan dan kejurulatihan untuk jurulatih, program meningkatkan mutu pengadilan dan berbagai-bagai lagi cadangan lain.
Kebangkitan skuad B23 kita baru-baru ini bukanlah kerana sebarang sentuhan ajaib, tetapi lebih kepada kesedaran pemain untuk bersungguh-sungguh memberikan yang terbaik buat negara mereka yang tercinta. Jika mereka diberikan pendedahan dengan teknik latihan yang betul, teknik pengambilan makanan yang betul, teknik permainan yang betul, persaingan yang lebih kompetitif, kemahuan untuk meningkatkan daya saing, tidak mustahil pemain-pemain ini akan memberikan lebih dari satu kejayaan kepada negara kita di masa akan datang. Batu asas untuk kita jadikan ukurun kejayaan pasukan negara ialah tahap kejayaan liga tempatan itu sendiri. Sekiranya kelab dari Malaysia berjaya di peringkat Asia Tenggara, Asia dan seterusnya dunia. Sudah pasti kita akan mempunyai pemain untuk membawa cabaran negara ke pringkat Asia Tenggara, Asia, Olimpik, seterusnya ke Piala Dunia.